Tuesday 20 December 2011

Zakat: Wajibkah kita mengeluarkan zakat?

Hukum zakat ke atas harta pada umumnya adalah wajib sekiranya mencukupi syarat-syaratnya.Hukum zakat mempunyai dalil-dalil yang mu'tamad dan yakin berdasarkan firman Allah yang bermaksud " dan dirikanlah solat,keluarkanlah zakat"-surah al-Baqarah:43. Oleh itu hukum orang yang menafikan kewajipan zakat adalah kafir.


Dalam ayat lain pula,Allah berfirman yang maksudnya, "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)

Hadis Nabi menyebut, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,maka tunaikanlah zakat
hartanya"

Nabi S.A.W juga bersabda "ajarkan kepada mereka bahawa Allah S.W.T memfardukan ke atas mereka zakat,diambil daripada orang-orang kaya dikalangan mereka,dan diberikan kepada orang-orang fakir di kalangan mereka.

Daripada dalil-dalil di atas,asas yang dapat difahami bahawa zakat ke atas orang-orang yang memiliki harta,yang melebihi daripada keperluan mereka/memiliki nisab,dikira sebagai kaya,dan diwajibkan zakat ke atas harta tersebut.

Yang menjadi perbahasan dikalangan ulamak,adalah bentuk harta kekayaan yang dikenakan zakat."Harta kekayaan"menurut pengertiannya dalam bahasa arab,"segala sesuatu yang diinginkan sekali oleh manusia menyimpan dan memilikinya"Syarat sesuatu perkara itu disebut harta iaitu boleh dimiliki, dan diambil manfaat daripadanya.Dan jenis-jenis harta itu berubah mengikut zaman dan tempat.Antara bentuk harta,dan sumber kekayaan masyarakat hari ini yang tinggal di bandar @ kota adalah gaji/pendapatan daripada pekerjaan
tetap mereka.

Hasil kajian dan pemerhatian ilmuwan Islam mendapati zakat ke atas hasil pendapatan seseorang,adalah wajib sekiranya,mencukupi syarat-syarat,antaranya sampai nisab( nilai 85gram emas), milikan sempurna,dan cukup setahun haul.Berdasarkan dalil umum seperti yang di atas dan juga qias kepada zakat bagi golongan petani."Mereka (petani) yang bercucuk tanam dalam keadaan panas dan susah ini pun diwajibkan zakat ke atas hasil mereka,apakah yang menghalang mereka yang bekerja makan gaji secara tetap,setiap bulan,dalam keadaan tidak kena panas terik mentari,dalam keadaan selesa,untuk tidak mengeluarkan zakat terhadap hasil pendapatannya."

Justeru,kewajipan zakat tertanggung ke atas semua orang-orang Islam yang bekerja,dan hasil pendapatannya melebihi daripada keperluan asas hidupnya dan nisab tahun tersebut.Maka wajiblah dikeluarkan sebahagian daripada kekayaannya sebanyak 2.5% sebagai zakat hartanya.


Berhubung dengan isu penguatkuasaan agama yang tertakluk kepada majlis agama Islam Negeri,sekiranya
sesebuah negeri belum melaksanakannya,ia tidak menggugurkan kewajipan zakat tersebut.Individu tersebut wajib mengeluarkan zakat hartanya sendiri,sama ada terus memberikan kepada asnaf,atau boleh menyerahkan kepada amil di tempat tinggal tersebut.Ini kerana 2.5% daripada harta kekayaan tersebut adalah hak asnaf yang mesti dikeluarkan.

Hadis Nabi SAW menyebut,mafhumnya" Tidak bercampur di antara harta zakat dan harta-harta yang lain,kecuali harta zakat itu akan merosakkan harta yang lain."

Adapun dosa atau tidak bagi pekerja yang tidak mengeluarkan zakat di negeri yang belum melaksanakannya,perlu melihat keadaan.Sekiranya mereka tahu akan hukum dan hujah yang mewajibkan zakat,dan memiliki harta yang cukup/melebihi nisab,maka mereka berdosa sekiranya mengabaikan.

Sekiranya mereka tidak tahu hukum,mereka wajib belajar dan mencari orang untuk mengajar.Apa yang telah lepas,dimaafkan dan digalakkan untuk mengira pendapatan mereka,dan sekiranya wajib zakat,maka hendaklah diqadha zakat tersebut.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment